Monday, July 28, 2008

PANGGILAN PULAU 2008




AL KISAH, maka tersebutlah cerita di sebuah pulau legenda di perairan Laut China Selatan. Pulau yang terletak kira-kira lima tanak nasi dari Semenanjung Tanah Melayu ini menyimpan banyak sejarah yang masih menjadi persoalan hingga kini.

Pulau strategik ini, merupakan tempat perlindungan dari ribut taufan bagi para pedagang, kapal perang, lanun dan juga beberapa keluarga nelayan di zaman silam. Para pedagang dari China, India dan Arab masing-masing dengan matlamat merebut hasil bumi pulau ini. Pulau ini juga adalah pedoman dan perhentian terbaik para pelayar sebelum meneruskan pelayaran mereka melalui Laut China Selatan ini.

Namun, pulau ini juga ada sejarah hitam. Pada abad ke 18, sekumpulan penduduk tempatan telah diculik dan dijual sebagai hamba oleh lanun ganas yang berkuasa di perairan tersebut ketika itu. Kejadian tersebut menyebabkan ketakutan di kalangan penduduk sehingga pulau tersebut menjadi seperti dilanggar garuda…sunyi sepi tanpa penghuni.

Setelah beberapa dekad, pulau ini kembali berpenghuni setelah mereka yakin tiada lagi ancaman lanun tersebut. Namun pada awal kurun ke 19, pulau ini sekali lagi dilanda musibah iaitu wabak malaria yang telah membunuh ramai penduduk, sekali lagi pulau ini kembali lengang. Rumah-rumah dan kebun kini menjadi hutan belukar. Ketika Perang Dunia ke-2, pulau ini jatuh ke tangan tentera Jepun.

Kini di abad ke 21, pulau legenda ini telah membangun pesat dengan hasil usaha anak watan pulau tersebut. Namun, baru-baru ini kemakmuran pulau ini sekali lagi diancam pelbagai anasir yang meresahkan para penduduk pulau tersebut. Kali ini lebih hebat apabila pelbagai anasir menyerang secara serentak; serangan lanun, wabak penyakit misteri dan tsunami.

Sekumpulan penyelamat terlatih SME Bank menuju ke pulau legenda ini dengan misi menyelamatkan penduduk di situ. Kini nasib penduduk di situ bergantung kepada kemahiran kumpulan wira tersebut. Maka bermulalah pengembaraan mereka ke PULAU NAMOIT….


Penafian : Segala cerita dan watak dalam program ini tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.